Tuesday, February 12, 2008

Apa terjadi laporan polis ke atas Bendahari Umno?

Apa terjadi laporan polis ke atas Bendahari Umno?
Abdul Halim Mohd Rashid Mon Feb 11, 08 3:05:08 am MYT
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menuntut polis menyatakan sejauh manakah tindakan yang diambil berikutan laporan polis seorang ahli perniagaan, Lu Leong Seng terhadap Bendahari Umno, Datuk Abdul Azim Mohamed Zabidi.
-->
"Ketika semakin ramai rakyat yang yakin bahawa polis hanya sibuk memerangi dan mengganasi perhimpunan aman demi perhimpunan aman, kita hendak tahu adakah polis bertindak terhadap aduan itu.
"Jika polis bertindak, sejauh manakah tindakan yang diambil.
"Jika tidak bertindak, pihak polis bertanggungjawab menerangkan kepada rakyat mengapakah tidak ada tindakan diambil," kata beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang mendedahkan perkara itu.
Raja Petra mendedahkan, pada 31 November 2007, Lu membuat laporan polis ke atas Abdul Azim di Balai Polis Kajang.
"(Sehingga) hari ini, sudah tentu dan seperti yang dijangkakan, tidak ada tindakan diambil oleh pihak polis," dakwa beliau.
Laporan itu dibuat, katanya, kerana Abdul Azim, yang juga Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), didakwa enggan mengembalikan saham berjumlah RM1,318,000.
Menurut Raja Petra, perkara itu bermula apabila Transquay Ventures Sdn Bhd hendak disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Bagi membolehkan penyenaraian , katanya lagi, Abdul Azim dilantik sebagai pengarah syarikat itu pada 20 Oktober 2003.
Perlantikan itu, menurut Raja Petra, dibuat berikutan dakwaan Abdul Azim bahawa syarikat itu mestilah menjadi syarikat Bumiputera untuk layak di senaraikan.
Berikutan itu, kata Editor Malaysia Today itu lagi, separuh dari saham syarikat itu dipindahmilik kepada Abdul Azim manakala separuh lagi dipindahmilik kepada seorang lagi Bumiputera.
Setelah saham itu berada di tangan Bumiputera sepenuhnya, menurut pendedahan itu, barulah ia layak disenaraikan.
"Azim 'membayar' kepada Lu Leong Seng untuk saham-saham tersebut pada 5 April 2004 melaui tiga cek RHB Bank. Penjualan itu bukanlah penjualan sebenarnya tetapi hanya transaksi kertas untuk menunjukkan Azim benar-benar memiliki saham tersebut dan telah membelinya," kata Raja Petra.
Lu pula, katanya lagi, hendaklah hendaklah membayar sejumlah wang, tetapi bukan kepada Abdul Azim kerana Bendahari Umno itu tidak mahu dikesan menerima wang tersebut.
"Sebaliknya, Lu dikehendaki membayar kepada Tan Boon Keong, atau BK Tan yang terkenal keji itu. Pembayaran tersebut dibuat melalui empat cek Public Bank Berhad pada 8 April 2004," dakwa beliau.
Bagaimanapun, katanya lagi, penyenaraian itu tidak berlaku dan Lu membatalkan persetujuan yang dibuat dengan Abdul Azim dan meminta Bendahari Umno itu mengembalikan saham serta bayaran yang telah dikemukakan oleh Lu.
"Tetapi Azim enggan mengembalikan saham atau bayaran berjumlah berjumlah RM1,318,000 yang dikemukakan kepada Tan yang bertindak sebagai penamanya. Pada masa yang sama, Azim dan rakannya BK Tan memiliki syarikat tersebut dan wang tunai berjumlah RM1,318,000," dakwa beliau.
Sebelum ini, Raja Petra pernah mendakwa bahawa Tan ialah kepala sindiket jenayah terancang yang menguasai dadah, persundalan, ceti haram dan rangkaian perjudian haram di seluruh Malaysia. Beliau juga didakwa menguasai sistem maklumat berkomputer polis.
Dalam akuan berkanun ASP Mior Fahim Ahmad, Tan disebutkan oleh beliau sebagai "mempunyai perhubungan yang amat baik dengan Tan Sri KPN dan akan mendengar setiap cadangan dan nasihat BK Tan".

No comments: