Wednesday, February 6, 2008

Bukan sahaja KPN, badan kehakiman juga dituduh dikuasai mafia

Bukan sahaja KPN, badan kehakiman juga dituduh dikuasai mafia
Abdul Halim Mohd Rashid Wed Feb 06, 08 6:20:45 am MYT
SHAH ALAM, 6 Feb (Hrkh) - Bukan sahaja Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dituduh menaungi kegiatan jenayah malah badan kehakiman negara ini juga dituduh telah dikuasai oleh gangster dan mafia.

Ketika diminta mengulas dakwaan Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang mendakwa Musa menaungi dunia penjenayahan, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, bukan sahaja pasukan polis, pejabat Peguam Negara dan Badan Pencegah rasuah (BPR) yang perlu dibersihkan dari gerombolan yang dituduh menaungi kegiatan jenayah malah badan kehakiman juga mesti dibersihkan.
"Keterangan adik (Datuk VK) Lingam kepada Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video Lingam baru-baru ini menyebabkan badan kehakiman negara ini kian dituduh telah dikuasai oleh mafia," kata beliau ketika ditemui selepas kembali dari majlis ceramah PAS di Ipoh.
Keterangan adik Lingam itu, katanya lagi, seolah-olah memberitahu rakyat bahawa mereka hendaklah menghubungi Lingam atau Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun jika mereka menghadapi sebarang masalah dengan undang-undang.
"Rakyat semakin kuat menuduh badan kehakiman dikuasai mafia apabila adik Lingam memberitahu bahawa beliau pernah diberi amaran oleh abangnya supaya tidak memberi maklumat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan mengugut bahawa Vincent mempunyai kaitan dengan samseng," kata beliau lagi.
Mohamad Sabu menyeru rakyat membersihkan negara ini dari kerajaan Barisan Nasional yang menyebabkan badan kehakiman dikuasai mafia manakala Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Pengarah BPR pula dituduh menjadi "unholy trinity" (pakatan jahat tiga pihak) yang didakwa melindungi kegiatan jenayah.
Keterangan adik Lingam itu, katanya lagi, menyebabkan rakyat menuduh badan kehakiman dikuasai oleh Vincent yang disebut sebagai mempunyai kaitan dengan samseng.
Dalam kenyataan semasa siasatan suruhanjaya tersebut, adik Lingam, V Thirunama Karasu mendakwa Lingam mengugutnya supaya tidak memberi maklumat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Mac 1998 sehingga kakaknya menyuruhnya menyembunyikan diri di India.
"Kakak menyuruh saya lari ke India untuk bersembunyi. Beliau suruh saya menyimpan janggut dan bersembunyi di kuil di sana.
"Lingam ada membawa saya ke sebuah restoran dan mengingatkan saya supaya tidak mengatakan apa-apa kepada BPR.
"Katanya, Vincent Tan mempunyai kaitan dengan samseng, tetapi beliau (Lingam) sudah memintanya supaya tidak mencampuri urusan ini kerana ia hanya masalah keluarga.
"Beliau juga mendakwa saya akan ditangkap polis kerana mengaitkan Ketua Polis Negara dan anak saya akan diculik," katanya.
Thirunama juga mengakui peranannya membantu abangnya menghantar barang ke rumah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin.
Beliau juga menyatakan, beliau pernah menemui Mohd Eusoff dua kali di rumah abangnya, iaitu kali pertama pada majlis makan malam yang turut dihadiri bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus serta isteri.
Kali kedua pula ketika Mohd Eusoff dan isterinya datang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Lingam dan isterinya yang hendak ke Amerika untuk rawatan perubatan.
Menjawab soalan peguamnya, Wee Choo Keong, saksi itu menyangkal keterangan Lingam dan Mohd Eusoff bahawa kedua-duanya hanya pernah bertemu pada majlis rumah terbuka sempena Deepavali di rumah abangnya itu.
Thirunama berkata, beliau pernah menjawab panggilan telefon Mohd Eusoff ke telefon bimbit Lingam di mana pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Hakim Negara.
Thirunama turut mengesahkan bahawa dia diberi tanggungjawab oleh Lingam mencari dua bidang tanah untuk dihadiahkan kepada Eusoff pada 1995.
Jelasnya, Lingam menyuruh dia berbuat demikian selepas Eusoff tidak berkenan dengan rumah yang ingin dihadiahkan kepadanya serta mahukan tanah lebih besar untuk membina rumah mengikut citarasanya sendiri.
Diitanya oleh Choo Keong bagaimana dia mengetahui bahawa Eusoff kurang menyukai rumah milik Lingam di alamat No. 2, SS1/38, Kampung Tunku, Petaling Jaya dekat sini, juruelektrik itu memberitahu dia terdengar perbualan mereka.
''Saya terdengar Eusoff kata kawasan rumah itu besar tapi ia terletak dekat dengan jalan besar dan bimbang anak- anak akan dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang.
''Saya cadangkan pada Eusoff agar pasang dua pintu pagar automatik, satu untuk masuk dan satu untuk keluar. Beliau tersenyum dan berkata, ia cadangan yang baik,'' ujarnya.
Berikutan itu, kata Thirunama, dia terdengar Lingam berkata: ''Kalau Tun tidak suka, kami akan cari tanah yang lebih besar untuk bina rumah mengikut cita rasa Tun.''
Selepas diarah oleh Lingam, dia menghubungi kawannya, P. M. Vijendran yang bekerja di Reapfields Sdn. Bhd. dan memberitahu abangnya, Datuk Sivaparanjothi dan Panjararatnam untuk mencari dua bidang tanah.
Jelasnya, walau mereka berjaya mendapatkan lot yang sesuai di SS7, Petaling Jaya, dekat sini, dia tidak pasti sama ada Lingam membeli tanah itu atau tidak.
Menurut Thirunama, sekitar Oktober 1995, dia diarah untuk membawa kunci rumah tersebut dan menaiki kereta BMW dengan nombor pendaftaran WDV 788 ke sana.
Jelasnya, Lingam memberitahu kereta kalis peluru yang dinaiki itu kepunyaan Vincent sementara Eusoff dan isteri mengekori mereka dengan kereta Mercedes.
Di samping itu, Thirunama mendakwa pernah bercakap dengan Eusoff sebanyak empat kali termasuk semasa dia menjawab telefon bimbit Lingam yang ketika itu sedang sibuk.

No comments: