Wednesday, February 6, 2008

FAIL SERUPA - THIRUNAMA

Fail serupa – Thirunama
Oleh NOR AZMAH IBRAHIM dan NORAZLITA MOHD SIES
KUALA LUMPUR 5 Feb. – V. K. Thirunama hari ini mengesahkan fail-fail yang dibawa oleh Datuk V. K. Lingam ke rumah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin sekitar tahun 1995 menyerupai fail-fail yang pernah dilihat di firma guaman abangnya.
Saksi ke-18 Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video yang bersidang pada hari ke-14 itu bagaimanapun tidak mengetahui tentang isi kandungan fail- fail tersebut kerana tidak pernah melihatnya secara teliti.
Menjawab pertanyaan peguam pemerhati Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong, Thirunama, 50, mendakwa Lingam hanya pernah memberitahunya ia berkaitan kes penting iaitu Ayer Molek dan Insas.
Christopher: ‘‘Awak kata awak pernah pandu Lingam ke rumah Eusoff antara tujuh dan lapan kali. Boleh awak ingat apa yang dibawa oleh Lingam pada ketika itu?’’
Thirunama: ‘‘Fail-fail. Setengahnya fail yang tebal.’’
Christopher: ‘‘Adakah awak boleh beri gambaran tentang fail-fail itu?’’
Thirunama: ‘‘Tidak, saya tidak boleh.’’
Christopher: ‘‘Boleh awak ingat fail-fail yang diberi kepada Eusoff itu adakah ia kelihatan sama dengan fail-fail yang awak lihat di pejabat Lingam?’’
Thirunama: ‘‘Benar. Fail itu serupa dengan fail yang saya pernah lihat di firma guaman Lingam.’’
Christopher: ‘‘Adakah awak ingat apa-apa tanda tulisan atau kelainan pada fail itu, seperti ia diikat?’’
Thirunama: ‘‘Ia diikat. Ada tulisan menggunakan pen penanda artline tapi saya tidak ingat (perkataan yang tertulis).’’
Christopher: ‘‘Adalah awak tahu isi kandungan fail-fail itu?’’
Thirunama: ‘‘Saya tidak tahu.’’
Christopher: ‘‘Adakah Lingam pernah beritahu awak tujuan kunjungan ke rumah Eusoff pada masa itu?’’
Thirunama: ‘‘Ada, dua kali. Satu berkenaan Air Molek, pada masa itu saya tidak tahu apa itu Ayer Molek dan satu lagi tentang Insas.’’
Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Tan Sri Haidar Mohamed Noor itu bersidang di bilik Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini bagi menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video perbualan telefon seorang lelaki dipercayai Lingam yang dikatakan sedang mengatur pelantikan hakim.
Thirunama dalam keterangan hari ini turut mengesahkan beg bimbit yang diserahkan kepada Eusoff pada tahun 1996 turut mengandungi sampul coklat dan dokumen di dalamnya selain tas tangan wanita dan dompet buatan Itali.
Katanya, sebahagian daripada dokumen itu berada di dalam sampul bersaiz A4 manakala sebahagian lagi berada di dalam beg bimbit di luar sampul.
Dia bagaimanapun tidak mengetahui tentang kandungan dokumen itu kerana tidak melihat secara teliti.
‘‘Semasa menghantar barangan itu, turut ada bersama Eusoff di rumahnya ialah dua pembantu rumah Indonesia, seorang kurus dan seorang lagi gemuk dan pendek.
‘‘Saya ada saksi lain, ‘Encik Sothinanthan’ turut bersama saya pada waktu itu. Dia tinggal di salah sebuah bilik tetamu di rumah Lingam’’’ jelasnya.
Kata Thirunama, dia menghantar Lingam ke rumah Eusoff sekitar tahun 1995 dan 1996 dengan menggunakan kenderaan berlainan bagi mengelakkan ia dicam.
Jelasnya, Lingam juga tidak membenarkan dia menunggu di dalam kereta atau meletakkan kereta di luar pagar rumah Eusoff atas tujuan yang sama.
Sebaliknya, Thirunama mendakwa Lingam menyuruhnya terus balik ke rumah serta tidak singgah di mana-mana dan hanya datang semula apabila disuruh.
‘‘Dia (Lingam) kata tidak perlu tunggu kerana dia ada perkara mustahak dan sulit hendak dibincang dengan Eusoff.
‘‘Saya akan balik dan tunggu Lingam telefon dan datang semula untuk mengambil dan menghantar beliau pulang,’’ katanya.
Ditanya sama ada dia merekodkan nombor telefon yang didaftarkan dengan Mutiara Telecomunication untuk Eusoff pada Mac 1996, Thirunama memberitahu ia dicatat dalam buku nota berwarna hitam miliknya.
Bagaimanapun, buku itu telah diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Mac 1998.
Thirunama mengakui, semua arahan dan maklumat yang diberikan oleh Lingam akan ditulis di dalam buku itu kerana bimbang terlupa dan takut dijerkah abangnya.
Dalam prosiding hari ini, Thirunama sekali lagi ditegur oleh Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor kerana agak teruja semasa memberi jawapan.

No comments: