Sunday, February 3, 2008

Pendidikan percuma

Pendidikan percuma
Oleh: MARZITA ABDULLAH
MENGUKUR kepesatan pembangunan negara terutama pembangunan pendidikan, sememangnya ukuran sepanjang tempoh 50 tahun kemerdekaan memaparkan senario yang menakjubkan.
Mungkin bagi generasi sekarang perubahan itu suatu perkara yang harus berlaku atau ‘biasa-biasa’ seperti yang berlaku di negara-negara jiran.
Namun bagi diri ‘orang lama’ seperti Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang, dahulu dan sekarang dalam konteks pendidikan amat jauh bezanya dan bukan suatu perkara yang datang sendiri tetapi atas usaha banyak pihak.
Perkara utama iaitu izin Allah, diri sendiri, keluarga dan kerajaan memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan.
Semua orang tahu rata-rata generasi lama berhempas pulas untuk memperoleh ilmu kerana situasi pada masa tersebut yang serba ketinggalan namun suatu perkara yang amat penting adalah kegigihan mereka.
Tidak dapat tidak kekangan yang dihadapi oleh generasi dahulu seperti Zulkurnain perlu dibuat perbandingan untuk generasi sekarang mensyukuri kemudahan yang telah tersedia.
Berasal dari Pasir Putih, Kelantan, Zulkurnain mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Petai, Pasir Putih pada tahun 1957, namun hanya bertahan dalam tempoh satu tahun kerana jalan yang sering becak.
Maka beliau bertukar sekolah yang hampir dengan rumahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Putih bermula dari darjah dua hingga empat.
Jika dibandingkan dengan sekolah pertama, sekolah kedua ini terlalu daif dengan hanya berlantaikan tanah dan beratap nipah yang bocor manakala semua pelajar ditempatkan dalam satu kelas yang besar tanpa mengira tahap.
Tanpa sebarang pengetahuan tentang bahasa Inggeris, malah tidak ada pun mata pelajaran Bahasa Inggeris diajar di sekolah dan guru-guru yang tidak terlatih, hanya berkelulusan darjah enam namun berdedikasi, Zulkurnain terpilih untuk menduduki peperiksaan yang dikenali sebagai ‘Special Malay Examination’ semasa darjah empat.
‘‘Ujian ini menumpukan ujian IQ dan Matematik dan saya bersama dua orang lagi pelajar berjaya dalam peperiksaan tersebut namun kerana tidak tahu bahasa Inggeris maka dalam ujian itu saya diletakkan pada tahun 1B,” katanya.
Bermula saat itu, beliau ditempatkan di sekolah aliran Inggeris di Sekolah Rendah Inggeris Kamil, Pasir Putih tanpa pengetahuan tentang bahasa Inggeris dan bercampur gaul dengan pelajar yang mempunyai latar belakang yang lebih baik daripadanya.
Dahulu, beliau hanya membawa papan batu dan kalam.
‘‘Jarak sekolah kira-kira tujuh kilometer, saya berbasikal ke sekolah, basikal yang dibeli ibu setelah menjual gelang emas, tetapi sepanjang tiga kilometer terpaksa memikul basikal kerana jalan terlalu becak,” katanya.
Semasa tingkatan satu, beliau mendapat bantuan kerajaan melalui Biasiswa Kecil Persekutuan RM20 sebulan.
‘‘Duit ini dimasukkan dalam akaun di pejabat pos dan bukunya dipegang oleh guru dan duit itu saya gunakan untuk membeli peralatan sekolah,” katanya.
Dalam pendidikan, beliau menghadapi hari-hari yang sukar kerana perlu membiasakan diri memahami bahasa Inggeris sementelah semua mata pelajaran diajar dalam bahasa tersebut.
‘‘Guru-guru memang amat dedikasi dan garang, memukul pelajar seperti melempang adalah perkara biasa malah saya pernah diketuk menggunakan pembaris besar sehingga bengkak,” katanya.
Mengimbau kembali pada masa dahulu, beliau dan malah ramai rakan yang hanya mempunyai sehelai baju, seluar dan pelekat untuk ke sekolah.
‘‘Malah baju seragam sekolah itu pun, dibeli semasa Hari Raya jadi bila Hari Raya boleh berbaju baru,” katanya.
Zulkurnain meminati aktiviti kokurikulum pengakap tetapi tidak mampu membeli peralatan pengakap yang ketika itu berharga RM20.
‘‘Membandingkan zaman dahulu dan sekarang, hari ini, saya amat gembira kerana kerajaan meluluskan bantuan pakaian seragam bagi aktiviti kokurikulum kerana saya tidak mahu pelajar sekarang mengalami apa yang saya lalui di mana kemiskinan menghalang saya aktif kokurikulum,” katanya.
Secara umumnya, pada tahun ini, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM188.8 juta setahun bagi Elaun Pakaian Seragam Unit Beruniform kepada lebih satu juta pelajar miskin di tahap dua sekolah rendah dan kepada 850,000 pelajar di sekolah menengah .
‘‘Sepanjang sekolah bermula dari sekolah rendah hingga sekolah menengah saya jarang ke kantin dan kalau pergi pun hanya untuk melihat apa yang dijual kerana saya tidak mampu,” katanya.
Namun bezanya sekarang, pelajar miskin diberi bantuan makanan melalui Rancangan Makanan Tambahan melalui peruntukan RM276 juta. Setiap pelajar mendapat RM1.20 sehingga RM2.05. Mereka juga diperuntukkan makanan berkhasiat seperti Program Susu Sekolah bernilai RM26.7 juta yang dimanfaatkan oleh 621,773 pelajar.
Bantuan makanan juga diberi kepada pelajar prasekolah melalui Bantuan Makan Khas Prasekolah yang bernilai RM50 juta untuk 171,550 pelajar.
Asrama
Manakala untuk pelajar di asrama, Bantuan Makanan Asrama dinaikkan daripada RM9.50 kepada RM12 menjadikan peruntukan pada tahun ini meningkat kepada RM1.08 bilion berbanding RM665 juta pada tahun lalu.
‘‘Bayaran untuk pelajar di sekolah berasrama disubsidikan, ibu bapa hanya perlu bayar RM1, kerajaan tanggung RM12 bagi setiap pelajar sehari dan peruntukan ini untuk 402,864 pelajar di asrama harian, sekolah berasrama penuh, sekolah teknik dan sekolah agama bantuan kerajaan,” katanya.
Zulkurnain adalah antara pelajar yang cemerlang kerana berjaya melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu.
‘‘Bermula tingkatan satu sehingga tingkatan enam Biasiswa Kecil Persekutuan diberi berterusan kepada saya malah dari RM20 semasa di tingkatan satu sehinggalah kepada RM70 di tingkatan enam,” katanya.
Tegas beliau, wang biasiswa banyak membantu memastikan beliau mendapat pendidikan yang lebih baik.
Konsistensi kerajaan memperuntukkan biasiswa melalui Biasiswa Kecil Persekutuan berterusan sehingga hari ini. Tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM268.5 juta bagi Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti dan Skim Biasiswa Sukan untuk 320,000 pelajar sekolah menengah.
Kata Zulkurnain, tanpa bantuan kerajaan seperti biasiswa bermula di peringkat sekolah sehingga peringkat PhD beliau tidak dapat belajar mahupun menjadi seperti apa yang ada sekarang.
‘‘Bermula merdeka sehingga 50 tahun hari ini saya boleh melihat perubahan yang begitu besar,” katanya.
Hari ini sekolah di pedalaman mana sekalipun, kerajaan membekalkan elektrik dan air bersih termasuk kemudahan peralatan canggih seperti komputer, Internet serta banyak bantuan lain.
Bagi persekolahan tahun ini sahaja kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk bantuan tambahan iaitu 78 peratus lebih tinggi daripada peruntukan tahun lalu yang hanya RM1.68 bilion.
Daripada jumlah itu, RM200 juta diperuntukkan kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin untuk 931,673 pelajar dari Tahun 1 sehingga tingkatan satu. Manakala RM246.9 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen (SBT) yang termasuk bantuan makanan kepada 478,778 pelajar SBT.
Malah untuk kemudahan perjalanan pergi dan pulang pelajar dan sebarang aktiviti seperti lawatan, kerajaan memperuntukkan RM9.1 juta bagi Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid.
Hari ini kata Zulkurnain, sepatutnya tidak ada si miskin yang tidak ke sekolah disebabkan kemiskinan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan.
‘‘Sepatutnya tidak timbul isu itu tetapi isu sebenarnya ialah masalah disiplin dan semangat belajar,” katanya.
‘‘Saya cuba bercerita kepada anak-anak mengenai kehidupan saya tetapi mereka tidak faham dan ini menunjukkan betapa pesatnya perkembangan pendidikan di negara ini dalam tempoh satu generasi,” kata Zulkurnain yang melakarkan setiap pengalaman hidupnya melalui lukisan.
Menurut beliau, jika ada orang meninggalkan negara ini sejak 50 tahun lalu dan kembali semula ke tanah air, mereka akan terkejut dengan perubahan yang melanda negara.
‘‘Keutamaan saya adalah di pedalaman seperti Sabah dan Sarawak kerana saya mahu melihat agar tidak ada siapa yang ketinggalan dalam pendidikan hanya disebabkan kemiskinan,” katanya.
Malah mulai tahun ini Kementerian Pelajaran mengadakan kelas-kelas percuma untuk ibu bapa dalam kalangan Orang Asli supaya hadir bersama anak masing-masing,” katanya.

No comments: