Monday, February 4, 2008

Rahman Palil bayangkan tidak bertanding

Rahman Palil bayangkan tidak bertanding
Oleh Zabry Mohamad
KLANG 3 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil hari ini membayangkan dirinya tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-12.
Ketika berucap pada satu majlis di sini, Abdul Rahman secara terbuka memohon maaf daripada para hadirin yang kebanyakannya penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa sekiranya beliau pernah menyinggung perasaan mana-mana pihak sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 1995.
Beliau juga melahirkan penghargaan, khususnya kepada nazir-nazir dan ketua-ketua kampung yang telah banyak membantunya dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Khidmat saya sebagai wakil rakyat mungkin tinggal tidak sampai 40 hari lagi.
“Jadi tuan-tuan dan puan-puan, saya minta maaf jika ada salah dan silap atau terkasar bahasa, manalah tahu khidmat saya hanya setakat ini saja,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis taklimat undang-undang harta pusaka kecil keselamatan dan isu semasa anjuran Unit Pembahagian Harta Pusaka Kecil Persekutuan Negeri Selangor dan Pejabat Perkhidmatan Mesra Rakyat DUN Sementa di sini hari ini.
Abdul Rahman menjadi wakil rakyat di DUN Sementa selama tiga penggal bermula 1995 apabila menewaskan dua calon pembangkang iaitu A. Deligannu (DAP) dan Mohd. Kusrin Rahman (Pas) dengan majoriti 9,446 undi.
Pada tahun 1999, beliau mengekalkan kerusinya dengan majoriti 3,369 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hamidzun Khairuddin dan calon bebas, N. Tamilarasan @ Kim Chai.
Pada pilihan raya 2004, beliau menang dengan majoriti 7,685 undi menewaskan calon PKR, Abdul Rahman Ibrahim.
Menurut Abdul Rahman, sebagai orang politik, jatuh- bangun merupakan perkara biasa.
Justeru, beliau meminta penduduk di DUN Sementa terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) tidak kira calon mana yang menjadi wakil rakyat di situ.
“Jika saya terpilih, saya minta sokongan tuan-tuan dan puan-puan. Kalau tidak, teruskan menyokong siapa (calon BN) yang menggantikan saya,” katanya.

No comments: