Monday, February 4, 2008

Pengundi Lembah Pantai tidak mudah diperdaya

Pengundi Lembah Pantai tidak mudah diperdaya
KUALA LUMPUR 3 Feb. – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yakin pengundi kawasannya bijak membuat keputusan pada pilihan raya akan datang meskipun parti pembangkang berkempen habis-habisan untuk merampas kawasan itu.
Menurutnya, beliau tidak bimbang sekiranya desas-desus yang menyebut beliau dan kawasannya bakal menjadi sasaran utama penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu benar.
‘‘Perkara itu bukan perkara baru atau ajaib kerana sesiapa sahaja mempunyai hak untuk berkempen tetapi saya yakin bukan mudah untuk memperdaya pengundi di kawasan Lembah Pantai,’’ katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan barangan kepada 181 penduduk warga emas, orang miskin dan orang kurang upaya Zon KTMB Bangsar Utama, anjuran Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Penyayang (Mayang), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Shahrizat bagaimanapun, tidak menafikan Lembah Pantai telah menjadi sasaran utama pembangkang sejak sekian lama memandangkan pembangunan yang amat pesat di kawasan itu.
‘‘Lembah Pantai ini ibarat ‘permata bernilai di atas mahkota’... memang kawasan panas yang menjadi rebutan memandangkan pembangunan pesat yang dinikmati penduduknya,’’ jelasnya.
Justeru beliau berpesan agar pengundi Lembah Pantai menilai dengan teliti sekiranya mahu membenarkan pihak pembangkang ‘cuci kaki’ masuk ke kawasan itu selepas pemimpin Barisan Nasional bersusah payah memajukannya.
Shahrizat yang telah memegang kerusi Parlimen kawasan tersebut sejak pilihan raya umum 1995 yakin pengundi tahu menghargai usaha keras pegawai dan pemimpin yang telah membangunkan kawasan itu sehingga menikmati kemajuan hari ini.

No comments: