Tuesday, February 12, 2008

1,031 anggota tentera didaftar pengundi di DUN PAS

1,031 anggota tentera didaftar pengundi di DUN PAS
Muda Mohd Noor Feb 11, 08 1:54pm
PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) telah memindahkan pengundi ke beberapa kawasan tertentu untuk membantu mereka menang dalam pilihanraya umum akan datang. Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemindahan pengundi berlaku di Kedah dan Terengganu kerana kedua-dua negeri tersebut merupakan kubu kuat PAS.Sebagai contoh, katanya, 1,031 pengundi di kalangan anggota tentera dari kem Sungai Petani dipindahkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek dalam kawasan Parlimen Sik.Belantik merupakan salah satu daripada lima DUN yang dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya umum 2004.
Empat lagi kerusi negeri yang dimenangi oleh PAS ialah Tokai, Sungai Limau, Anak Bukit dan Bukit Pinang.
PAS hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Kedah, iaitu Pendang.
"Pendatang asing juga dibawa masuk untuk mengundi di situ kerana Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hanya menang dengan undi pos dalam pilihanraya umum 1999."Perkara yang sama juga berlaku di Terengganu di mana orang dari negeri lain didaftar sebagai pengundi di negeri tersebut," katanya dalam sidang media di ibupejabat PAS di ibu negara semalam.Sebelum itu beliau menghadiri mesyuarat bulanan PAS yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin utama parti itu bagi membincangkan isu semasa dan persiapan parti menghadapi pilihanraya umum.Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau juga percaya perkara yang sama juga berlaku di tempat-tempat lain khususnya di kawasan yang menjadi kubu kuat PAS.Jumpa SPRBeliau mendakwa, BN melakukan penipuan semata-mata untuk menang dalam pilihanraya umum akan datang.Bagaimanapun, Abdul Hadi memberi amaran bahawa rakyat Terengganu tidak menerima pengundi luar yang mahu mengundi secara haram."Saya menasihatkan mereka supaya tidak datang ke Terengganu jika mahu selamat," katanya lagi.Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar yang hadir sama dalam sidang media tersebut berkata, anggota tentera dari Kem Sungai Petani itu dipindahkan ke DUN Belantek selepas tempoh bantahan senarai pemilih tamat."Semasa pameran daftar pemilih terakhir (bagi suku tahun terakhir tahun lalu), kami mendapati nama-nama anggota tentera terbabit tiada dalam senarai pemilih tetapi berjaya dikesan selepas tempoh bantahan," katanya.Berikutan itu, kata Mahfuz Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan PAS akan mengadakan pertemuan dengan SPR di Putrajaya esok bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.

No comments: