Wednesday, February 6, 2008

PKR Kelantan puas hati tambahan kerusi

PKR Kelantan puas hati tambahan kerusi
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
KOTA BHARU 5 Feb. – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan berpuas hati berhubung pembahagian kerusi di negeri itu setelah Pas menjanjikan pertambahan sekali ganda dalam pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan PKR negeri, Nik Mahmood Nik Hassan menyatakan rasa syukur kerana pertambahan itu mencerminkan persefahaman dan kerjasama erat antara partinya dan Pas untuk memastikan kemenangan di negeri ini.
“Ia merupakan petanda baik antara kita dan Pas, saya bersyukur kerana proses perundingan pengagihan kerusi berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa bahawa PKR negeri akan mendapat tambahan kerusi lebih 100 peratus pada pilihan raya umum akan datang walaupun parti itu tewas di semua kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum 2004.
Pada pilihan raya umum 2004, PKR hanya diberi lima kawasan iaitu tiga kerusi Parlimen - Kota Bharu, Ketereh dan Tanah Merah serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Nenggiri dan Paloh.
Bagaimanapun difahamkan pada pilihan raya umum kali ini, pada awalnya PKR hanya mendapat tambahan dua kerusi sahaja menjadikan semuanya tujuh.
Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan peruntukan kerusi bagi PKR di kawasan yang sukar untuk dimenangi, beliau berkata dengan calon yang berwibawa, PKR akan turut membantu membawa kemenangan.
Nik Mahmood berkata, pengagihan kerusi itu bukan bersifat ‘menjerut leher’ tetapi simbolik kepada kesepakatan teguh antara perikatan pembangkang di negeri ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai kerusi yang bakal diagihkan kepada PKR.
“Ia akan diumumkan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya beri jaminan barisan calon hasil gabungan antara muka lama dan baru ini amat berwibawa dan berkualiti bagi mencatat kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai krisis dalaman antara kalangan pemimpin PKR negeri, Nik Mahmood berkata, ia hanya perkara kecil tetapi diperbesarkan oleh pihak lawan.
“Alhamdulillah semuanya telah selesai dan tiada lagi sebarang perselisihan faham,” katanya.

No comments: