Tuesday, February 12, 2008

Selangor catat pelaburan tertinggi dalam 10 tahun

Selangor catat pelaburan tertinggi dalam 10 tahun
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 11 Feb. - Selangor mencatat pelaburan melebihi RM10 bilion pada tahun lalu, jumlah tertinggi bagi negeri itu dalam tempoh 10 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif , Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) Berhad, Datuk Mhd. Jabar Ahmad Kembali berkata, sebahagian besar pelaburan itu adalah dalam sektor perkilangan, yang terus menunjukkan pertumbuhan positif.
Katanya, bagi tempoh dari Januari hingga Oktober tahun lalu, Selangor mencatat pelaburan berjumlah RM8.2 bilion dalam sektor tersebut dengan RM4.6 bilion merupakan pelaburan tempatan, manakala bakinya merupakan pelaburan langsung asing (FDI).
Jumlah itu merupakan peningkatan berbanding sebanyak RM7 bilion pada 2006., katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mhd. Jabar berkata, jumlah rasmi pelaburan di Selangor bagi tahun 2007 akan diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz pada Khamis ini.
"Ini menunjukkan Selangor merupakan destinasi pelaburan pilihan bagi pelabur tempatan dan asing.
"Perkembangan ini turut didorong oleh dasar-dasar Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang berusaha meningkatkan sistem penyampaian yang lebih bersifat mesra pelabur," katanya.
Mhd. Jabar berkata, pihaknya akan meningkatkan kempen pelaburan di negeri itu membabitkan kawasan Lembah Klang kedua yang meliputi Kuala Langat serta Sepang pada tahun ini.
"Kita sedang mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat serta pelabur asing, terutama dari Eropah serta Asia Timur yang menyatakan minat untuk membuka operasi mereka di kawasan berkenaan," katanya.
Menurutnya, SSIC turut memperuntukkan sebanyak RM75,000 bagi mewujudkan balai polis bergerak bagi meningkatkan tahap keselamatan di setiap kawasan perindustrian di negeri itu.

1 comment:

Idham said...

peranan pemerintah sangat penting dalam peningkatan ini. My blog: Cabai Burung